Solat Jumaat ialah solat fardu (dua rakaat) yang dilakukan
pada hari Jumaat menggantikan solat Zohor, dan ianya dilakukan secara berjemaah
selepas mendengar khutbah. Solat Jumaat itu hukumnya Fardhu Ain, iaitu wajib
dikerjakan atas setiap mukallaf dengan syarat-syarat tertentu. ( Lihat Video untuk lebih paham)
Firman Allah:
"Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan
untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi ke masjid
untuk mengingati Allah [dengan mengerjakan solat Jumaat] dan tinggalkanlah
berjual beli [pada saat itu]; yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu
mengetahui [hakikat yang sebenarnya]," - Al-Jumu'ah: 9
Sabda Rasulullah SAW:
"Solat Jumaat itu hak wajib dikerjakan oleh tiap-tiap
orang Islam dengan berjemaah, kecuali empat jenis manusia: hamba sahaya yang
dimiliki, perempuan, anak-anak, dan orang yang sakit." - Riwayat Abu Dawud
& Hakim.
Syarat wajib solat Jumaat:
1. Islam - tidak wajib bagi orang kafir.
2. Baligh - tidak wajib bagi kanak-kanak yang belum baligh.
3. Berakal - tidak wajib bagi orang yang gila.
4. Merdeka - tidak wajib ke atas hamba abdi.
5. Lelaki - tidak diwajibkan untuk orang perempuan.
6. Sihat - tidak wajib bagi orang yang uzur dan berhalangan.
7. Bermastautin atau bermukim - tidak wajib bagi orang yang
musafir.
Syarat sah solat Jumaat:
1. Didirikan di dalam waktu Zuhur.
2. Tempat mendirikan solat Jumaat itu hendaklah di suatu
tempat yang telah ditetapkan seperti masjid, dewan, padang dan sebagainya.
3. Mestilah berjemaah dengan sekurang-kurangnya 40 orang
yang tinggal tetap di kawasan itu.
4. Didahului dengan dua khutbah.
Rukun-rukun khutbah Jumaat:
1. Khutbah dimulai dengan memberi pujian pada Allah SWT
seperti ucapan: "Allahamdulillah".
2. Diikuti dengan salawat ke atas Nabi Muhammad SAW:
"Allahuma salli ala Saidina Muhammad waala ali Saidina Muhammad."
3. Khutbah hendaklah mengandungi pesanan kepada para jamaah
agar bertaqwa kepada Allah SWT seperti: "bertaqwalah kamu kepada
Allah."
4. Membaca satu ayat Quran pada khutbah yang pertama atau
kedua, tapi paling elok pada khutbah yang pertama.
5. Mendoakan setiap Muslim pada khutbah yang kedua
sekurang-kurangnya: "Rahima-kumullah."
Syarat sah Khutbah Jumaat:
1. Pembaca khutbah hendaklah seorang lelaki, tidak sah jika
orang perempuan.
2. Pembaca khutbah hendaklah menutup aurat.
3. Suci daripada hadas dan najis pada pakaian, badan dan
tempat.
4. Berdiri pada kedua-dua khutbah itu pada yang mampu.
5. Membaca khutbah setelah masuk waktu Zuhur dan dilakukan
sebelum solat Jumaat.
6. Membaca rukun-rukun khutbah di dalam bahasa Arab, tidak
boleh di baca dalam bahasa ibunda seperti membaca salawat Nabi dalam bahasa
Melayu.
7. Mualat antara khutbah yang pertama dengan khutbah yang
kedua, antara segala rukunnya dan antara khutbah dengan solat.
8. Duduk sebentar setelah selesai khutbah pertama sebelum
memulakan khutbah kedua. Jikalau pembaca berkhutbah dalam keadaan duduk, maka
pisahkan di antara dua khutbah itu dengan diam sebentar.
9. Khutbah didengar oleh 40 orang yang bermukim sekalipun
tidak memahami bahasa yang digunakan untuk menyampaikan khutbah.
10. Mencukupi bilangan 40 orang dari mula khutbah hingga
akhir solat.
* Seorang Muslim yang mengalami salah satu perkara di bawah
ini adalah dikecualikan dari menunaikan solat Jumaat, mereka hanya perlu solat
Zohor seperti biasa:
1. Sakit - Iaitu sakit yang menyukarkan untuk ke masjid atau
bimbang akan memudaratan penyakitnya.
2. Hujan - Jika hujan itu membawa kesukaran untuk pergi ke
masjid.
3. Musafir - Iaitu orang yang keluar sebelum subuh untuk
bermusafir.
4. Takut dizalimi - Orang yang bersembunyi kerana takut di
zalimi.
Perkara-perkara sunat yang dilakukan pada hari Jumaat:
1. Mandi sunat hari Jumaat, terutama ketika hendak berangkat
ke Masjid.
2. Memotong kuku.
3. Memotong, mencabut atau mengunting bulu [ketiak, hidung,
misai].
4. Bersugi.
5. Memakai wangi-wangian.
6. Berhias diri dengan memakai pakaian yang bersih dan
cantik.
7. Bersegera pergi ke masjid.
8. Berniat iktikaf.
9. Solat Tahiyatul Masjid sebaik sahaja masuk ke dalam
masjid.
10. Memperbanyakkan berzikir, membaca Al Quran dan
bersalawat atas Nabi.
LIhat Video Agar Lebih Paham
SUMBER : JAIP